Komen Sepp Blatter undang kontroversi
- Filed under: FIFA, Premier League
- Date: Jul 11,2008
PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter terjebak dalam kontroversi apabila menggesa Manchester United agar tidak melayan Cristiano Ronaldo seperti “hamba zaman moden”.
Kenyataan Blatter hadir susulan keengganan kelab Liga Perdana England itu merelakan ayam tambatannya berpindah ke Real Madrid sekalipun Ronaldo pernah menyuarakan hasrat untuk menyarung jersi pasukan gergasi Sepanyol berkenaan.
Blatter turut menggesa United merelakan pemain Portugal itu berpindah ke Real Madrid jika dia berhasrat berbuat demikian.
Ronaldo yang meminati Real sejak kecil, dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi Sepanyol itu sejak akhir musim lalu biarpun meledakkan 42 gol dalam semua kejohanan musim lalu apabila United menjulang trofi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.
Dalam pertelagahan berterusan mengenai masa depan pemain berusia 23 tahun itu, Blatter berkata amalan mengikat pemain untuk satu tempoh kontrak yang panjang seperti “perhambaan zaman moden”.
Beliau turut menggesa Manchester United dan Real Madrid untuk ‘duduk semeja’ jika Ronaldo mahu berpindah ke kelab Sepanyol.
“Perkara paling penting ialah kita patut melindungi pemain,” kata Blatter.
“Jika pemain itu mahu beraksi untuk pasukan lain, penyelesaian harus dicari kerana jika dia terus tinggal di kelab di mana dia tidak selesa beraksi maka ia tidak baik untuk pemain dan kelab itu.
“Saya sentiasa menyokong usaha melindungi pemain dan jika dia mahu berpindah, biarkan saja,” katanya.
Blatter percaya, isu itu menimbulkan persoalan mengenai bagaimana perpindahan dan kontrak pemain dikendali dalam sukan itu.
“Saya fikir dalam bola sepak kini terlalu banyak perhambaan zaman moden dalam perpindahan atau pembelian pemain dari mana-mana kelab atau menjual mereka ke kelab lain,” katanya.
“Kami kini cuba campur tangan dalam kes seperti itu. Reaksi terhadap undang-undang Bosman ialah membuat kontrak berpanjangan dalam usaha mengikat pemain dan jika dia mahu berpindah, maka hanya ada satu penyelesaian dia perlu menebus kontrak terbabit,” katanya.

















Leave a comment